top of page

KEJOHANAN RAGBI 7 SEPASUKAN TERBUKA KVBP KEBANGSAAN atau lebih dikenali sebagai THE BATTLE OF SEVEN SIDES (BP BOSS) bagi merebut PIALA PUSINGAN KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO BAHAGIAN SRI GADING merupakan kejohanan tahunan yang julung-julung kali diadakan pada tahun 2016. Kejohanan yang dianjurkan oleh Unit Sukan Dan Kokurikulum Kolej Vokasional Batu Pahat bersama Sekreteriat Sukan Dan Rekreasi Parlimen Sri Gading dengan kerjasama Majlis Permuafakatan Kolej (MPK) Kolej Vokasional Batu Pahat itu adalah kejohanan berskala kebangsaan yang membuka penyertaan kepada 40 pasukan ragbi seluruh negara bagi kategori bawah 17 tahun dan bawah 19 tahun. Dalam edisi pertama penganjuran yang diadakan pada 19 dan 20 Februari 2016 di Kolej Vokasional Batu Pahat itu, sebanyak 40 pasukan telah mengambil bahagian dengan penglibatan sebanyak 480 pemain, 120 pegawai pasukan yang terdiri daripada pengurus pasukan, jurulatih dan pegawai fisio pasukan disamping 20 tenaga pengadil dari JRRA dan 50 orang sukarelawan yang terdiri daripada pelajar-pelajar Kolej Vokasional Batu Pahat. Lebih membanggakan kejohanan yang berlangsung selama 2 hari itu telah mendapat perhatian daripada masyarakat sekitar dan penggiat sukan ragbi apabila dianggarkan seramai 700 pengunjung telah hadir bagi menyaksikan persaingan merebut gelaran juara sulong kejohanan ini. Malah, sebagai tanda sokongan terhadap program pembudayaan sukan ragbi di peringkat akar umbi, Saudara Mohd Lassim Burhan, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sri Gading merangkap pengerusi Sekreteriat Sukan Dan Rekreasi Parlimen Sri Gading yang juga merupakan penganjur bersama bagi kejohanan ini turut menyumbangkan piala pusingan kejohanan dan bersama-sama turun padang memeriahkan kejohanan.

​

Kejohanan yang julung-julung kali diadakan ini telah merekodkan 80 perlawanan pusingan awal (peringkat kumpulan) iaitu 40 pusingan bagi kategori bawah 19 tahun yang diadakan di padang Kolej Vokasional Batu Pahat sebagai venue utama kejohanan dan 40 pusingan lagi bagi kategori bawah 17 tahun yang berlangsung di padang SMK Munshi Sulaiman, Batu Pahat sebelum kesemua pasukan meneruskan persaingan di peringkat kalah mati pada hari kedua kejohanan. Di peringkat kalah mati, sebanyak 3 devisyen diperkenalkan iaitu Devisyen 1 yang melibatkan persaingan kategori cup dan plate iaitu kategori bagi pasukan yang mendapat kedudukan 1 hingga 8 selepas pusingan awal. Bagi pasukan yang menduduki ranking 9 hingga 16 pula meraka akan bersaing dalam devisyen 2 yang melibatkan kategori bowl dan shield manakala pasukan di ranking ke 17 hingga 20 akan meneruskan persaingan dalam devisyen 3 yang melibatkan kategori spoon dan fork dan kesemua perlawanan ini diadili sepenuhnya oleh Johor Rugby Referee Association (JRRA) yang diketuai oleh Mohamad Sabirin Bin Hj Saban selaku Ketua Pengadil Kejohanan.

​

Kejohanan yang lahir dari cetusan idea Saudara Mohd Syamsul Salleh  selaku penyelaras program pembangunan ragbi Kolej Vokasional Batu Pahat atau juga dikenali sebagai KVBP Rugby Academy ini telah mendapat sokongan penuh daripada pentadbiran kolej ketika itu yang diketuai oleh Puan Hajah Maimunah Binti Mohd Sidin selaku Pengarah Kolej Vokasional Batu Pahat, Malah kejohanan ini turut mendapat sokongan daripada syarikat-syarikat penaja seperti Radin Catering Enterprise yang menaja 20 buah kanopi untuk kegunaan kejohanan, Strike Rugby Gear selaku penaja peralatan padang, bola kejohanan dan baju kejohanan kepada pengadil, Pakar Printing Murah Enterprise selaku penaja banner dan bunting kejohanan serta The Inspirer Enterprise yang menawarkan tajaan berbentuk kepakaran penganjuran acara.

SEJARAH

bottom of page